Friday, March 31, 2006

Interview

Ada sepucuk surat (bukan surat cinta) yang aku terima petang ini. Aku membukanya ketika baru pulang dari kerja.Surat itu datangnya dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam , yang mempelawa aku untuk datang ke sesi temuduga satu jawatan rendah di Putrajaya.

Surat yang aku terima ini langsung tidak menarik minat aku.Bukan kerana jawatan yang ditawarkan, tetapi kerana perasaan pesimis, prejudis dan skeptikalnya aku terhadap Jabatan-Jabatan Kerajaan dalam sesi pengendalian temuduga yang dianjurkan oleh mereka ini.


Ini aku katakan berdasarkan pengalaman aku yang pernah menghadiri satu sesi temuduga di sebuah Jabatan Kerajaan di Serdang tidak lama dulu. Pengalaman yang tawar ini telah mematikan dan membantutkan minat aku untuk bekerja di sektor kerajaan.

Pengalaman semasa ditemuduga ini cukup membuatkan aku menjadi serik.Ini bukanlah kerana pegawai-pegawai yang menemuduga aku ini adalah lepasan graduan dari Universiti Sintok(meminjam istilah Hishamuddin Rais), tetapi adalah kerana kebobrokan si penemuduga dan sistem temuduga yang mereka jalankan-Birokrasi dan unsur kronisme yang mereka amalkan.

Aku menghadiri temuduga ini kira-kira setahun yang lalu setelah mendapat surat dari Jabatan tersebut.Di dalam surat yang dikirimkan itu menyebut bahawa aku perlu menghadiri sesi temuduga tersebut pada jam 8.30 pagi.Oleh kerana itu aku sampai kira-kira pada pukul 7.30 pagi lebih awal untuk memastikan aku berada dalam keadaan yang cukup selesa dan bersedia. Tetapi, apa yang membuatkan aku merasa begitu bodoh sekali adalah apabila aku mendapat tahu kemudiannya giliran aku hanya bermula pada pukul 12.30 tengahari dan menjadi orang yang terakhir untuk ditemuduga.Ini menurut mereka, sistem giliran adalah menurut abjad nama.

Bayangkan, aku adalah orang yang pertama sampai ke sana, tetapi menjadi orang terakhir ditemuduga!

Aku mungkin boleh bertolak ansur jika di dalam surat berkenaan menyatakan secara terpeinci pada pukul berapa sepatutnya aku perlu hadirkan diri. Yang menjadikan aku kecewa ialah kerana sistem giliran mengikut abjad itu tidak pula dijelaskan di dalam surat berkenaan.Tentulah ini sesuatu yang tidak adil bagi aku kerana aku telah membuang banyak masa dengan begitu sahaja dan 'mood' aku untuk di 'interview' juga telah turut terjejas.

Kemudiannya aku sempat berbual dengan beberapa orang calon temuduga tersebut.Dari apa yang aku bualkan, aku mendapat tahu bahawa temuduga itu hanyalah sebagai syarat sahaja sedangkan calonnya sudah ada.(dari lima belas, mereka cuma memilih 3 orang)Seorang calon memberitahu aku secara jujur bahawa ibu bapanya bekerja di jabatan tersebut( tetapi dalam daerah lain), dan secara yakin pula dia berkata bahawa dia boleh mendapat pekerjaan tersebut kerana sudah ada 'deal dengan orang dalam' sebelum itu.

Apa yang lebih mengecewakan aku adalah sikap pegawai-pegawai yang menemuduga ini.
Mereka ini boleh dikatakan bersikap sambil lewa (pada pemerhatian aku)dalam mengendalikan sesi temuduga ini.Cara yang santai (sempat untuk makan dan minum ketika sesi temuduga itu dijalankan) adalah amat tidak profesional dan memalukan.Beberapa kali aku melihat salah seorang daripada mereka ini keluar dan bercakap-cakap di telefon ketika temuduga berlangsung.Secara jelas aku boleh mendengar perbualan seorang dari mereka ini dengan seorang dari ibu( atau bapa) calon tersebut.Sudah tentulah perbualan itu berkisar dengan peluang kerja yang lebih berpihak kepada calon itu tadi.

Aku merasa bahawa aku telah diperbodohkan kerana menghadiri temuduga seperti ini.
Aku bukan terkilan atau terlalu kepingin sangat untuk jawatan sekecil itu, tetapi apa yang menyebabkan aku begitu emosional adalah kerana masih terdapat lagi karenah birokrasi di jabatan-jabatan kerajaan seperti ini.Masih terdapat unsur-unsur kronisme dalam Jabatan-jabatan kerajaan ini, yang pada aku sangat-sangat membebalkan.

Tuesday, March 28, 2006

The Police Brutality in The 'Boleh' Land


Polis Aparat VS Demonstran



Siap-siaga untuk melawan.

Saturday, March 25, 2006

Bunga sial

Kau
Bunga sial
yang terkulai lembut
di dada sang lelaki
yang rakus diranjang
malam-malam berapi
di luar jendela-sepi.
Ada malaikat memerhati

kau
Bunga sial
mekar cuma
di tangkai kepalsuan

Kau
bunga sial
janjikan pelangi
dan biru laut.
dan gunung.
dan awan.

wajah-wajah penuh racun
tertancap duri di tangan
tajam yang menghiris
Luka yang dalam.

Ketika mereka tertusuk
dan mati dalam pelukanmu
Sedang semuanya adalah mimpi.

Celaka!

25 Maret
9.59 mlm.
(dedikasi untuk mangsa dadah)

Hidup

Ada yang berkata-kata. Bahawa mengapa perlu mengeluh tentang kehidupan dan segala sesuatu yang membosankan itu.Bukankah hidup ini untuk di nikmati seluruhnya.Hidup sesuatu yang indah, jangan disia-sia-kata mereka.

Tapi ada yang terlupa barangkali.Kekecewaan, penderitaan, kesepian- itu juga adalah sebahagian dari hidup yang perlu dinikmati.Aku mahu mengecap segalanya.

Hidup bukan sahaja untuk suka-suka. Ada sesuatu yang perlu kita cari dalam hidup ini.Yang pada aku, masih belum kutemui jawapannya.

Cuma aku yang seringkali sahaja, meninggalkan persoalan pada jawapan yang tak pernah pasti itu.

Monday, March 20, 2006

Soe Hok Gie- catatan seorang Demonstran

" lebih baik diasingkan dari menyerah diri pada kemunafikan"

Aku baru sahaja mula membaca sebuah buku. Catatan dari Soe hok Gie- seorang lagenda dan tokoh mahasiswa dari Indonesia.

Tidak sempat selesai untuk membaca keseluruhan buku ini yang aku kira menarik dan perlu di baca oleh anak-anak muda yang sebaya aku.Cuma beberapa helaian yang sempat aku belek atas faktor masa yang membungkam.

Soe hok Gie- seorang Cina Indonesia yang percaya dirinya seorang Athies, adalah seorang mahasiswa yang hidup dalam zaman orde lama di Indonesia.Seorang yang tidak sesekali berkompromi dengan kekuasaan dan pemerintah yang korup.

Dia mula menulis catatan seawal lima belas. Satu tempoh yang masih mentah, tapi sudah mempunyai pemikiran yang idealis dan kritis terhadap isu-isu sosial, moral dan politik yang berlaku di negaranya sendiri.

Jika ada masa, aku akan ulas buku ini. Sekadar catatan kecil dari seorang yang kecil seperti aku.

Dan malam ini, aku harapkan roh soe hok gie akan menjelma dalam tidur aku.